Vaksinasi: Remaja tidak bersekolah, tiada dokumen pengenalan di Kapit boleh 'walk-in' ke PPV

Afiezul Samit
September 24, 2021 23:23 MYT
Golongan terlibat masih boleh hadir secara walk-in bersama penjaga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran. - Gambar hiasan
KUCHING: Remaja yang sudah berhenti sekolah dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Kapit, Sarawak masih layak menerima vaksin, kata Pegawai Kesihatan Kapit, Dr Hamidi Mohamad Sharkawi.
Jelasnya, golongan terlibat masih boleh hadir secara walk-in bersama penjaga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.
"Buat masa sekarang memang kami menerima bekalan vaksin tetapi kami tidak memiliki senarai lengkap berkenaan jumlah bilangan pelajar yang sudah tidak bersekolah.
"Angka yang tepat adalah daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), jadi setiap kali pemberian vaksin dilakukan, sememangnya mereka akan bawa lebih bekalan vaksin namun sekiranya tidak mencukupi, kita akan tetap memberikannya dalam masa terdekat,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sarawak melibatkan golongan berusia 12 hingga 17 tahun aktif dilaksanakan sejak 8 September lalu melibatkan lebih 200 ribu individu namun jumlah itu tidak termasuk dengan mereka yang di luar senarai JPN.
Selain itu, bagi mereka yang tiada dokumen pengenalan diri, pengesahan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diperlukan sebelum hadir ke PPV.
‘’Bagi bukan warganegara pula, di daerah Kapit masih terdapat warga tempatan yang berkahwin dengan warga Indonesia.
‘’Paling baik adalah mendapatkan pengesahan dari JKKK dan daripada maklumat itu kita dapat menerima butiran lebih terperinci.
‘’Ini kerana vaksin jenis Pfizer ini tidak mudah untuk dimobilisasikan lebih-lebih lagi untuk dihantar ke kawasan luar bandar dan pedalaman,’’ tambahnya.
Untuk rekod remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak menyumbang kepada 10.3 peratus populasi penduduk di negeri itu.
Ia melibatkan 96,400 remaja berusia 16 hingga 17 tahun dan 192,800 remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
#vaksinasi remaja #Kapit #walk-in #remaja tidak bersekolah
;