Vaksinasi remaja 16 dan 17 tahun di Sarawak mulai esok

Nuzuluddin Abdul Razak
September 7, 2021 16:25 MYT
Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, program vaksinasi dalam kalangan umur tersebut mungkin akan mengambil masa sehingga empat hari di seluruh negeri. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Sarawak bersedia untuk memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun mulai esok.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawk (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, program vaksinasi dalam kalangan umur tersebut mungkin akan mengambil masa sehingga empat hari di seluruh negeri.
“Kalau kita lihat, setiap hari kes yang dilaporkan adalah di antara 20 hingga 30 peratus yang terdiri daripada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.
“Inisiatif Kerajaan untuk memberikan vaksin kepada golongan ini adalah satu usaha yang sangat dialu-alukan dan di Sarawak kita akan mula memvaksin remaja berusia 16 dan 17 tahun Rabu ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Berdasarkan maklumat awal pihak sekolah di beberapa sekolah menengah di bahagian Kuching dan Samarahan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan menggunakan bangunan sekolah, dewan masyarakat dan klinik-kesihatan (KK) di bahagian masing-masing.
Difahamkan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan melawat PPV KK Telaga Air di sini esok. PPV KK Telaga Air ini merupakan PPV pertama yang akan melaksanakan PICK untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak.
Melalui pekeliling yang dihantar oleh pihak sekolah kepada para ibu bapa di SMK Sri Matang, Kuching, program vaksinasi yang mereka hadiri di PPV KK Telaga Air itu juga akan bermula seawal jam 8.30 pagi.
Antara dokumen yang perlu disediakan ibu bapa ialah sijil beranak atau kad pengenalan diri, atau pasport bagi murid bukan warganegara.
Sementara itu para pelajar juga perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga untuk tandatangan persetujuan penerimaan vaksin.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Mohamed Sapian Mohamed #COVID-19 #Abang Johari Tun Openg
;