Vaksinasi remaja 12 hingga 15 tahun di Sarawak bermula Khamis ini
Nuzuluddin Abdul Razak
September 21, 2021 17:01 MYT
September 21, 2021 17:01 MYT
KUCHING: Pemberian suntikan vaksin kepada golongan remaja berusia 12 hingga 15 tahun di Sarawak akan bermula Khamis ini, 23 September 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas menjelaskan, keputusan tersebut berpandukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkenaan pelaksanaannya dalam sidang media di Putrajaya pada Isnin.
“Beliau (Khairy Jamaluddin) berkata remaja berusia di antara 12 hingga 17 tahun boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mereka secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.
“Khairy juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan senarai PPV terpilih tersebut hari ini yang mana akan melibatkan lebih kurang 3.2 juta remaja untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Uggah, PICK remaja ini adalah persediaan untuk pembukaan sekolah menjelang 3 Oktober depan sekali gus memastikan risiko jangkitan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.
“Ini juga akan mengelakkan kluster dan kes positif berlaku dikalangan para pelajar dan dalam masa yang sama saya menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada para pelajar memanfaatkan peluang ini dengan melindungi mereka sebaiknya.
“Anak-anak juga perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga untuk menandatangani borang kebenaran vaksin,” kata Uggah.
Sementara itu, beliau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri, Uggah menjelaskan PPV berkaitan akan ditentukan oleh Jabatan Kesihatan Bahagian (JKB).
Dalam masa yang sama, kerajaan Sarawak katanya telah menerima 10,000 dos bekalan vaksin tunggal CanSino hari ini dari Kuala Lumpur.
Bekalan vaksin ini kemudiannya akan dihantar ke beberapa Cawangan Farmasi Logistik Negeri (CFLN), Klinik Kesihatan (KK) dan Pusat Farmasi Bahagian (PFB) di beberapa daerah di negeri itu pada hari ini dan esok.
“Antaranya CFLN Sarawak, PFB Sri Aman, KK Mid Layar, PFB Sarikei, Hospital Sarikei, Hospital Sibu, PFB Sibu, PFB Kapit, KK Kapit and KK Song pada hari ini dan esok.
“Manakala, pada 24 September (Jumaat), vaksin akan dihantar ke Hospital Bintulu, KK Bintulu, KK Belaga, KK SUNGAI Asap, dan PFB Miri,” ujarnya lanjut.
Untuk makluman, Sarawak akan melaksanakan sebahagian program imunisasi di kawasan pedalaman menggunakan vaksin satu dos iaitu CanSino khususnya di pedalaman bahagian Miri.
Program imunisasi itu akan melibatkan beberapa kawasan dan masyarakat seperti masyarakat Penan yang tinggal jauh di pedalaman.