Vaksinasi kanak-kanak: 'Jangan lama sangat tunggu dan lihat', nasihat Khairy kepada ibu bapa
Firdaus Azil
Februari 19, 2022 18:38 MYT
Februari 19, 2022 18:38 MYT
BATU PAHAT: Golongan ibu bapa dinasihatkan agar tidak mengambil masa terlalu lama, sebelum memutuskan tentang pemberian vaksinasi COVID-19 kepada anak-anak mereka.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, biarpun ia tidak diwajibkan, peningkatan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak adalah membimbangkan, dengan lebih 160 peratus kenaikan tercatat antara minggu epidemiologi 5 dan 6.
Jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, buat masa ini hanya vaksinasi yang mampu memberi perlindungan dari kesan dan gejala yang lebih teruk akibat COVID-19.
“Perlindungan yang kita boleh berikan kepada kanak-kanak adalah vaksin, dari kesan dan gejala buruk. Saya tengok masih ramai nak tunggu dan lihat, tolong jangan lama sangat 'tunggu dan lihat'. Kita tak mahu anak-anak kita terdedah.
“Walaupun kes kematian dan kemasukan hospital untuk golongan ini tak tinggi berbanding golongan dewasa, tapi kanak-kanak kalau kena COVID-19, ada juga yang masuk hospital, ada juga bergejala,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) di Klinik Kurnia, di sini hari ini.
Ketika mengulas mengenai keputusan pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat menangguhkan semakan vaksin COVID-19 Pfizer untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, Khairy berkata, kumpulan kerja teknikal akan memberi panduan kepada KKM tentang kesesuaian vaksin.
Sebelum ini media melaporkan keputusan pengawal selia tersebut, selepas mendapati regimen dua dos Pfizer tidak berfungsi dengan baik terhadap varian Omicron,
“Jadi kita ada dua proses, satu kelulusan oleh badan regulatori iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu lagi adalah pandangan kumpulan pakar.
"Kumpulan pakar sedang memperhalusi data untuk vaksin bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun... belum ada apa-apa syor lagi kepada KKM,” jelasnya lagi.