Vaksinasi dos kedua di Pulau Pinang dijangka meningkat minggu hadapan

Bernama
Ogos 3, 2021 06:50 MYT
Chow berkata bagi jumlah populasi yang menerima suntikan vaksin, Pulau Pinang berada pada kedudukan enam teratas bagi suntikan dos pertama berjumlah 44.4 peratus. -Bernama
GEORGE TOWN: Pemberian vaksin COVID-19 bagi dos kedua di Pulau Pinang akan meningkat mulai minggu hadapan, sekali gus dapat mencapai kadar vaksinasi 40 peratus populasi penduduk di negeri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata ini berikutan penerima vaksin AstraZeneca (AZ) dos pertama, akan menerima suntikan dos kedua dan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) juga akan memberikan suntikan dos kedua.
"Bermula minggu hadapan, lebih ramai yang akan menerima dos kedua vaksin, berikutan itu Pulau Pinang dapat mencapai kadar vaksinasi 40 peratus dan seterusnya memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Sekali lagi, saya tegaskan bahawa Kerajaan Pulau Pinang yakin dan komited bahawa kita akan mencapai 100 peratus suntikan dos pertama bagi populasi dewasa pada awal September nanti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata sehingga malam tadi, Pulau Pinang merupakan enam negeri terbaik dengan jumlah 1,100,073 vaksin diberikan iaitu 786,878 bagi dos pertama dan 313,195 untuk dos kedua.
Chow berkata bagi jumlah populasi yang menerima suntikan vaksin, Pulau Pinang berada pada kedudukan enam teratas bagi suntikan dos pertama berjumlah 44.4 peratus iaitu melebihi kadar peratusan kebangsaan 44.3 peratus, manakala 17.7 peratus bagi dos kedua.
"Bagi peratusan populasi dewasa, suntikan dos pertama mencatatkan 57.6 peratus dengan kedudukan enam terbaik, dan peratusan dos kedua kini yang berjumlah 22.9 peratus adalah banyak bergantung kepada bekalan vaksin yang dibekalkan," katanya.
Sementara itu, katanya Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Pusat telah meluluskan permohonan Pulau Pinang untuk pembukaan PPV Vangohh Eminent Hotel dan Spa yang akan beroperasi mulai 9 Ogos ini dengan kapasiti suntikan harian 2,000 dos sekali gus dapat meningkatkan kadar vaksinasi di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
"Secara keseluruhan akan terdapat empat PPV di daerah SPT iaitu tiga PPV sedia ada di SP Arena, Tapak Ekspo Seberang Jaya dan One Hope Charity di Juru. Sebanyak 4,800 dos suntikan harian akan dicapai dengan pengoperasian penuh keempat-empat PPV berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow #AstraZeneca #bekalan vaksin #dos kedua #dos pertama #Pusat Pemberian Vaksin #PPV #vaksin #suntikan #COVID-19
;