Vaksinasi COVID-19: Populasi dewasa cecah 90.6 peratus

Astro Awani
Oktober 12, 2021 23:13 MYT
Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,437,380 individu atau 65.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi COVID-19 penduduk dewasa negara ini kini menghampiri 91%.
Setakat ini, seramai 21,220,121 individu atau 90.6% daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.
Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.9% atau 22.21 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.
Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 112.3%, diikuti Labuan (99.2%), Negeri Sembilan (99.2%), Perlis (94.3%) dan Pulau Pinang (91.2%)
Paling rendah adalah di Sabah (66%) dan Kelantan (74.4%).
Sementara itu, negeri yang mencapai kadar vaksinasi 80% ke atas adalah Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak.
Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,437,380 individu atau 65.6% telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.
Pada masa sama, 75.2% atau 24.56 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Selain itu, seramai 370,995 atau 11.8% daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
Terdapat pertambahan 129,941 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 46.04 juta dos.
PICK dilancarkan pada 24 Feb lalu bagi memberikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
#COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #suntikan #vaksin