Vaksinasi COVID-19: KPLB gerakkan aset bantu masyarakat luar bandar
Israr Khalid
Jun 14, 2021 05:30 MYT
Jun 14, 2021 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menggerakkan aset-aset kenderaan agensi di bawahnya untuk membantu masyarakat luar bandar bersama merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, selain daripada hal pendaftaran vaksinasi, mereka yang berdepan cabaran untuk menghadiri janji temu vaksinasi yang dijadualkan juga dibantu.
“Jika mereka tak ada kenderaan untuk mendaftar atas sebab-sebab tertentu, kita ada pengangkutan yang digunakan oleh pihak berkuasa Risda, Felda, Felcra dan Mara.
“Ini semua jentera kita sudah gerakkan untuk memastikan sekurang-kurangnya mereka mendaftar dan kalau sudah dapat tarikh dan tiada pengangkutan, kita boleh bawa mereka keluar,” katanya.
Selain itu, maklum Dr Abd Latiff, kementeriannya juga akan memastikan usaha PICK dapat sampai kepada setiap anggota masyarakat orang asli di seluruh pelusuk negara.
Jelasnya, jika mereka tidak tampil mendaftarkan diri dan mendapatkan vaksinasi, pihaknya akan pergi kepada mereka supaya semua dapat bersama dalam usaha ini.
“Kita ada 835 ketua-ketua kampung dan tok batin di seluruh pelusuk negara. Keseluruhannya orang asli ada sekitar 300,000 orang terdiri daripada pelbagai puak di tempat-tempat yang berbeza.
“Tapi kalau mereka yang tidak ramai ini kita tak dapat yakinkan bahawa vaksin COVID-19 ini bagus untuk melindungi sama seperti vaksin polio, rabies dan measle yang mereka sudah ambil, negara pun tak selamat,” jelasnya.
Untuk itu, KPLB akan bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai aset berkemampuan untuk sampai ke kawasan penempatan orang asli yang terpencil.
Tonton temu bual penuh Dr Abd Latiff dalam Agenda AWANI bersama hos, Essan Yahya, di sini:
Agenda AWANI: Perkembangan program imunisasi luar bandar
#Agenda Awani
#Kementerian Pembangunan Luar Bandar
#Datuk Dr Abd Latiff Ahmad
#KPLB
#PICK
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#Orang Asli
#COVID-19
#vaksin