Vaksinasi COVID-19 kanak-kanak di Pahang tidak sampai 30%
Azee Shafy
April 15, 2022 11:52 MYT
April 15, 2022 11:52 MYT
BERA: Seramai 54,510 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan vaksinasi dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, jumlah itu meliputi kadar 28.3 peratus daripada 192,600 kanak-kanak yang layak menerima suntikan itu.
Katanya, secara keseluruhan, jumlah ini masih rendah walaupun sudah hampir dua bulan program PICKids ini dilaksanakan di semua daerah dalam negeri Pahang.
"Kadar liputan PICKids ini masih rendah kerana sebahagian ibu bapa atau penjaga tidak membenarkan anak-anak mereka untuk menerima vaksinasi COVID-19 ini.
"Saya harap, mereka dapat mendaftarkan anak-anak mereka sebelum program ini berakhir," katanya selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Bagi program PICKids ini, daerah Cameron Highlands mencatatkan liputan tertinggi iaitu 55.5 peratus, diikuti dengan daerah Kuantan, Bentong, Bera dan Raub dengan kadar liputan antara 30 hingga 35 peratus.
Norolazali berkata, peratusan kadar liputan paling rendah adalah di daerah Maran dan Pekan iaitu kurang dari 20 peratus.
"Kanak-kanak yang telah menerima suntikan dos pertama akan menerima dos kedua mulai minggu ini yang dilakukan di klinik kesihatan atau klinik swasta terpilih.
"Selain itu juga, pemberian vaksinasi ini juga akan dilaksanakan secara jangkau luar dinsekolah-sekolah terpilih mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Tambahnya, ibu bapa perlu peka dan cakna dengan tarikh janji temu anak masing-masing dan tidak ketinggalan untuk menerima dos kedua mengikut tarikh yang ditetapkan.
Sementara itu, seramai 616,441penduduk Pahang atau 58.4 peratus telah menerima vaksin dos penggalak (VDP) sehingga 11 April lalu.
Dan mulai 1 April tahun ini, status vaksinasi bagi bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penerima vaksin primer Sinovac (18 tahun ke atas) akan bertukar kepada Tidak Lengkap Vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera jika mereka belum mendapatkan VDP.