Vaksin swasta: Tumpuan 80 peratus terlebih dahulu - MOSTI
Bernama
Mac 6, 2021 18:38 MYT
Mac 6, 2021 18:38 MYT
KUALA TERENGGANU: Meskipun ada pihak swasta yang berhasrat membeli vaksin COVID-19 melalui kerajaan, namun kerajaan terlebih dahulu perlu memastikan sasaran 80 peratus atau 26.5 juta penduduk dalam negara menerima vaksin itu secara percuma dapat dicapai.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan setakat ini hanya tertumpu kepada usaha menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berikutan bekalan dunia yang terhad.
"Memang kita ada libatkan sektor swasta dalam program ini (PICK) tetapi mereka sebagai pelaksana program pemberian vaksin secara percuma, bukan mereka (pihak swasta) yang membeli vaksin itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Akademi Robotik TD1303 x Jazro (repeat: Akademi Robotik TD1303 x Jazro) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan menyatakan terdapat pihak swasta yang berhasrat untuk membeli vaksin COVID-19 dengan bantuan kerajaan, satu-satunya saluran yang mempunyai akses dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin.
Sementara itu Ahmad Amzad berkata setakat semalam, lebih dua juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 112,000 terdiri daripada petugas barisan hadapan telah menerima suntikan.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir menerima suntikan apa jua jenis vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kerana NPRA sangat teliti dalam soal kualiti dan keselamatan.
"Setakat ini 279 juta dos vaksin telah disuntik kepada 279 juta orang di seluruh dunia di 107 negara. Secara purata setiap hari enam juta orang menerima suntikan vaksin dan kadar kesan sampingannya sangat rendah," katanya
-- BERNAMA
#vaksin
#program vaksinasi
#PICK
#swasta
#MOSTI
#80 peratus
#bekalan
#kerajaan
#pembelian hospital swasta
#Ahmad Amzad Hashim