Vaksin remaja: Takut dan gementar, namun beranikan diri demi persekolahan

Nuzuluddin Abdul Razak
September 8, 2021 20:51 MYT
Golongan remaja menanti giliran untuk menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Telaga Air, Kuching pada Rabu. -Gambar Astro AWANI
KUCHING: Seawal jam 8.30 pagi lagi, beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang berusia 16 hingga 17 tahun telah bersedia untuk menerima vaksin jenis Pfizer BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan (KK) Telaga Air di sini.
Walaupun ditemani ibu bapa dan penjaga, masih ada golongan remaja yang ditemui berasa takut dan gementar. Tidak kurang juga ada yang berasa teruja untuk menerima vaksin.
Bagi Ronald Vicky Victor, 17, pada awalnya dia ragu-ragu dan takut untuk mengambil vaksin namun perasaan itu hilang setelah semua ahli keluarganya selesai menerima vaksin COVID-19 sebulan yang lalu.
“Semasa ayah saya menerima vaksin, saya sebenarnya sudah mula rasa takut, tetapi akhirnya saya memberanikan diri dengan membuat bacaan lanjut di laman sosial mengenai kebaikan vaksin ini,” katanya selepas menerima suntikan vaksin di PPV KK Telaga Air pada Rabu.
Bagi Ronald, menjelang pembukaan sekolah dan sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), vaksin ini satu-satunya cara untuk dia kembali menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) seperti biasa di sekolah.
“Lagipun vaksin ini untuk kebaikan masa depan saya dan semua pelajar di Sarawak, kerana dengan adanya vaksin pergerakan kita tidak terhad dan apa yang paling ditunggu-tunggu adalah untuk hadir ke sekolah dalam keadaan imuniti kelompok yang selamat sebagai pelindung diri,” katanya.
Selain itu bagi Nur Syakinah Masri, 16, dia merupakan pelajar sekolah pertama yang menerima vaksin di PPV berkenaan hari ini.
Dia berharap agar semua pelajar di seluruh negara bersama-sama menyokong usaha itu ianya menggambarkan satu bentuk solidariti dan tanggungjawab bersama golongan remaja memperkasa usaha kerajaan negeri untuk membentuk imuniti kelompok.
“Jika kita menerima vaksin ini, saya percaya dan yakin tahap keselamatan pelajar apabila sekolah dibuka kelak.
“Bagi rakan-rakan di luar sana, tidak perlu takut untuk mengambil vaksin kerana ianya terbukti berkesan dan tidak sakit seperti proses vaksinasi yang lain sebelum ini,” kongsi Syakinah kepada Astro AWANI.
Untuk makluman, seramai 375 pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Sri Matang dan Pusat Perlindungan Taman Sri Puteri menerima suntikan pertama vaksin jenis Pfizer BioNTech mereka di PPV KK Telaga Air bermula hari ini.
Jumlah ini adalah sebahagian daripada 96,400 remaja berusia 16 hingga 17 tahun iaitu 3.4 peratus dari populasi keseluruhan 2.8 juta penduduk di Sarawak.
#vaksin remaja #Klinik Kesihatan Telaga Air #COVID-19 #pandemik
;