Vaksin Pfizer-BioNTech mampu kurangkan risiko OKU dijangkiti COVID-19 - Pakar Pediatrik

Bernama
Februari 23, 2021 05:15 MYT
Dr Amar Singh (kanan) menyertai program perbincangan maya 'Think Differently with Ras Adiba' yang dihoskan Ras Adiba di Bernama TV malam tadi. - Facebook Ras Adiba Radzi-Fans
KUALA LUMPUR: Seorang perunding kanan pediatrik percaya bahawa vaksin Pfizer-BioNTech mampu mengurangkan risiko golongan kurang upaya (OKU) dijangkiti virus COVID-19.
Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Perak Datuk Dr Amar Singh HSS berkata ketika ini, belum ada halangan bagi golongan itu mendapatkan vaksin COVID-19 melainkan keimunan mereka terjejas.
"Saya percaya vaksin itu akan menjadi bahagian penting dalam keseluruhan proses membasmi atau mengawal COVID-19 dan kita perlu ingat bahawa golongan kurang upaya lebih cenderung berdepan masalah kesihatan serta mempunyai risiko lebih tinggi untuk jatuh sakit apabila dijangkiti COVID-19," katanya dalam program perbincangan maya 'Think Differently with Ras Adiba' yang dihoskan Pengerusi Bernama Datuk Ras Adiba Radzi di Bernama TV di sini malam tadi.
Bagaimanapun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin itu terhadap golongan kurang upaya yang mengalami sindrom down, palsi serebrum dan distrofi otot memandangkan sistem keimunan mereka tidak kuat berbanding individu lain.
"Saya percaya masalah utamanya ialah alergi. (Misalnya) jika anda mempunyai alergi yang ketara dan melihat kepada berjuta-juta (orang) yang telah diimunisasi, (hanya) beberapa orang yang mengalami reaksi teruk terhadap vaksin itu," kata penerima Anugerah Pakar Pediatrik Cemerlang Asia 2012 dan Anugerah Advokasi SENIA 2016.
Kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada Ahad lepas.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk petugas barisan hadapan yang membabitkan 500,000 orang.
Fasa 2, dari April hingga Ogos, akan membabitkan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan kurang upaya merangkumi kira-kira 9.4 juta orang manakala Fasa 3, yang bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, akan meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berusia 18 tahun dan ke atas, yang menyasarkan lebih 13.7 juta orang.
-- BERNAMA
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #vaksin #OKU #warga emas #rakyat Malaysia #KLIA #kesihatan #rakyat #Sindrom Down #perbincangan maya #kesan sampingan #Amar Singh HSS #Ras Adiba Radzi #risiko #imunisasi #keimunan #alergi
;