Vaksin pelajar, KPM perlu lihat aspek bekalan - Radzi Jidin
Madiha Abdullah
Jun 22, 2021 11:55 MYT
Jun 22, 2021 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Vaksinasi pelajar merupakan antara aspek penting dalam persediaan pembukaan semula sekolah yang dijangka pada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara.
Namun dalam masa yang sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu menyelaras dan mengambil kira isu bekalan vaksin, apatah lagi ia di bawah kendalian Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).
"Pertama, task force vaksin di bawah Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Penyelaras. Tetapi kami berbincang apa kaedah paling sesuai kerana hal ini memerlukan pemahaman yang mendalam.
"Apabila cakap tentang vaksin, kita kena tengok juga pada isu bekalan. Kalau ikutkan memang kita nak vaksinkan semua dengan cepat tetapi kena faham, bekalan vaksin perlu ikut jadual tertentu seperti yang ditetapkan pembekal.
"Jadi kami (KPM) mohon agar didahulukan pelajar yang akan menduduki peperiksaan untuk diberikan vaksin," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-65, hari ini.
Ditanya apakah tindakan jika ada dalam kalangan pelajar yang enggan menerima vaksin, Radzi memaklumkan ia akan tertakluk kepada dasar kerajaan berkenaan perkara itu.
Dalam pada itu, Datuk Radzi Jidin juga memaklumkan, pengambilan khas guru baharu secara one-off seperti yang diumumkan sebelum ini akan mengutamakan graduan ikhtisas perguruan tanpa meminggirkan aspek kualiti.
"Kita akan pastikan semua guru yang diambil bersedia dan dapat laksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan sebaiknya. Kita amat menitik beratkan hal ini dan tidak akan mengambil ringan kualiti guru-guru yang kita hantar mengajar di sekolah.
"Semua proses pengambilan akan dijalankan dengan teliti dan tersusun. Kalau ada graduan ikhtisas pendidikan, ada caranya tetapi bagaimana pula untuk subjek atau bidang yang sudah lama kosong, kita perlu fikirkan cara.
"Kalau tak ada graduan ikhtisas pendidikan, kita perlu juga ambil pendekatan melihat pada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.
"Tetapi mestilah kita tidak ambil sebarangan dan mereka ini akan dihantar menjalani latihan terlebih dahulu," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak bimbang dan meletakkan kepercayaan kepada KPM untuk menyelesaikan isu kekurangan guru yang sudah lama berlarutan ini.