Vaksin Moderna dapat kelulusan bersyarat - Dr Noor Hisham
Umavathi Ramayah
Ogos 5, 2021 16:34 MYT
Ogos 5, 2021 16:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi vaksin Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection COVID-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified) atau Moderna.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk adalah dari pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd yang berdaftar daripada pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.
Beliau memberitahu, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-362 yang bersidang pada Khamis.
"Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Dr Noor Hisham juga memberitahu, KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Setakat ini, antara vaksin telah diberi kelulusan untuk pendaftaran bersyarat bagi penggunaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah termasuk Pfizer-BioNTech, Sinopharm, Sinovac, AstraZeneca, CanSino, Johnson & Johnson (J&J) dan terbaharu Moderna.
#AstraZeneca
#Bahagian Regulatori Farmasi Negara
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Pfizer-BioNTech
#Moderna
#Pihak Berkuasa Kawalan Dadah
#PICK
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin
#Sinopharm
#mRNA
#Kementerian Kesihatan