Vaksin mampu tangani mutasi virus COVID-19 - Pakar

Bernama
Januari 5, 2021 07:10 MYT
Tubuh badan manusia itu sendiri bersifat 'bijak', kerana ia bukan sekadar mengeluarkan antibodi yang membunuh sesuatu kuman itu, tetapi juga mengeluarkan antibodi yang ada imun memori. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: "Sekiranya virus COVID-19 bermutasi, insya-Allah, vaksin yang dicorakkan oleh saintis masih lagi berkesan," demikian menurut seorang pakar bagi menjawab persoalan sama ada perlu mencipta vaksin baharu sekiranya virus itu bermutasi.
Pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damasara Dr Musa Mohd Nordin menjelaskan tubuh badan manusia itu sendiri bersifat 'bijak', kerana ia bukan sekadar mengeluarkan antibodi yang membunuh sesuatu kuman itu, tetapi juga mengeluarkan antibodi yang ada imun memori.
Katanya, walaupun tahap antibodi seseorang itu berkurangan, badan manusia akan mengeluarkan sel memori yang mana apabila diserang oleh virus, memori itu akan mengeluarkan antibodi yang baharu.
"Tetapi ingat, walaupun berkurangan (antibodi), hanya terdapat kira-kira 30 kes jangkitan semula setakat ini. Bayangkan daripada 80 juta kes COVID-19, tetapi yang kena COVID-19 buat kali kedua hanya 30 kes," katanya dalam rancangan Wacana Sinar Harian bertajuk 'COVID-19: Suci dan Selamatkah?' pada Selasa malam.
Turut hadir dalam rancangan itu adalah rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mengenai kaedah keselamatan vaksin, Dr Musa berkata pakar kajian meletakkan dua bulan sebagai mencukupi untuk mengenal pasti lebih daripada 90 peratus kesan sampingan yang utama.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 90 peratus kesan sampingan yang dikenal pasti adalah yang kecil seperti sakit, berwarna kemerahan dan bengkak di kawasan suntikan, yang selalunya sembuh dalam masa dua hari.
Bagi kesan sistemik seperti pening kepala, lemah, kepenatan dan demam pula adalah kira-kira 50 peratus terutama bagi mereka yang berumur kurang daripada 55 tahun serta yang menerima suntikan dos kedua.
"Ini merupakan kesan sampingan yang kecil selepas imunisasi, tiada amaran yang bahaya lagi. Saya harap rakyat Malaysia berfikiran terbuka dan jangan dipengaruhi oleh media sosial yang tidak berasaskan kepada dalil, hujah dan fakta.
"Kita mesti lakukan semak fakta," tegasnya.
Sementara itu, Dzulkifli turut menyentuh mengenai isu diskriminasi dalam ketersediaan, kebolehcapaian dan kemampuan dalam soal kesihatan terutamanya bagi vaksin COVID-19.
Beliau berkata sebagai contoh, walaupun daripada segi ketersediaan perubatan itu ada, namun masyarakat di luar bandar mungkin tidak mendapat akses bekalan itu.
"Jadi ini soal yang perlu kita titik beratkan kerana kita dapati perbezaan atau diskriminasi dalam masyarakat kita masih berleluasa khususnya dalam soal kesihatan, adakah maklumat akan sampai ke persisiran atau hulu?
"Kalau kita lihat percaturan di dunia, kalau negara yang kaya akan dapat ini dulu, seolah-olah orang lain tidak penting dalam konteks ini.
"Ini adalah antara percaturan yang perlu kita fikirkan apabila kita hendak memberi vaksin kepada seluruh rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#vaksin #mutasi virus #pakar perunding pediatrik #Dr Musa Mohd Nordin #imun memori #antibodi #COVID-19
;