Vaksin kanak-kanak bawah 5 tahun? Masih terlalu awal untuk dibincangkan - Pakar
Fareez Azman
Februari 8, 2022 19:20 MYT
Februari 8, 2022 19:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar Kanak-Kanak Hospital Raja Zainab II, Kota Bharu, Dr Nik Khairuddin Nik Yusoff berpendapat masih terlalu awal untuk kerajaan membincangkan berkenaan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
Jelasnya, tiada vaksin yang dibangunkan bagi golongan itu ketika ini.
Bagaimanapun, langkah pencegahan boleh diambil dengan memastikan golongan dewasa dan kanak-kanak berusia lima tahun ke atas mendapatkan vaksinasi bagi melindungi golongan terbabit.
"Saya rasa terlalu awal untuk kita membincangkan vaksinasi kanak-kanak bawah lima tahun, pertamanya belum ada vaksin yang dibenarkan dan diluluskan untuk pengunaan di Malaysia dan kebanyakan negara di dunia.
"Keperluan itu akan dinilai dari semasa ke semasa melihat kepada trend penyakit virus itu sendiri untuk diberikan vaksin kanak-kanak bawah lima tahun.
"Saya rasa penting kanak kanak itu mungkin tidak boleh diberikan vaksinasi tapi kita ada cara lain untuk melindung kanak kanak ini, antara perkara penting ialah SOP, penjarakan sosial, penjagaan kebersihan diri, ventilasi dan sebagainya dan juga vaksinasi untuk orang sekeliling kanak kanak tersebut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Bersama Media berkaitan PICKids dengan Adverse Events Following Immunization (AEFI) bertajuk Penilaian dan Pemantauan Keselamatan Produk Vaksin COVID-19 secara maya pada Selasa.
Untuk rekod, seramai 41,399 kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun telah mendapatkan vaksin dos pertama sejak Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) di perkenalkan sejak 3 Februari lalu.