Vaksin HPV: KKM belum rancang suntik remaja lelaki
Astro Awani
November 1, 2021 11:05 MYT
November 1, 2021 11:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) belum merancang untuk memberi vaksin Human Papilloma Virus (HPV) kepada remaja lelaki berusia 13 tahun dan ke atas.
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, buat masa ini, tiada sebarang dasar vaksinasi ditetapkan bagi golongan itu.
"Setakat ini, dasar kita adalah untuk (memvaksin) perempuan sahaja yang berusia 13 tahun ke atas. Kita belum membuat dasar untuk memberi vaksinasi bagi remaja lelaki.
"Kalau diizinkan, mungkin contohnya dalam tahun hadapan, kita akan laksanakan dasar seperti itu," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk memberi vaksin HPV kepada remaja lelaki berusia 13 tahun ke atas.
Menjawab soalan asal berkaitan remaja perempuan yang terlepas vaksinasi HPV, Aaron berkata proses vaksinasi tersebut akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
"Apabila bekalan vaksin HPV diperoleh pada 2022, remaja perempuan berusia 13 hingga 14 tahun yang terlepas daripada vaksinasi HPV pada tahun ini akan diberi vaksinasi menerusi perkhidmatan kesihatan sekolah seperti sebelum ini.
"Kita maklum bahawa tahun lepas dan tahun ini, vaksinasi HPV tidak dapat diberikan disebabkan pandemik COVID-19," katanya.
Jelasnya, KKM ketika ini sedang melaksanakan perolehan bagi tender pembekalan suntikan HPV dan ia masih di peringkat penyeliaan.