Vaksin halal: Rakyat diminta tidak ragu-ragu ambil suntikan imunisasi
Bernama
Julai 11, 2016 17:32 MYT
Julai 11, 2016 17:32 MYT
Rakyat Terengganu diminta jangan ragu-ragu dan tidak menolak pengambilan imunisasi untuk anak-anak mereka susulan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memutuskan bahan vaksin yang ada dalam suntikan imunisasi kanak-kanak adalah halal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata jawatankuasa fatwa yang dipengerusikan Mufti negeri, Datuk Dr Zulkifly Muda pada 4 Julai lalu juga memutuskan pengambilan suntikan berkenaan adalah harus dan wajib sebagai benteng pertahanan badan manusia daripada penyakit yang boleh membawa kematian.
Katanya, antara penyakit yang boleh dicegah menerusi pengambilan vaksin termasuk difteria, tetanus (kancing gigi), demam campak dan kanser pangkal rahim.
"Jawatankuasa fatwa juga turut memutuskan pengambilan vaksin juga adalah harus dan wajib diambil jika sesuatu penyakit itu boleh membawa kematian.
"Jadi saya harap rakyat di negeri ini tidak lagi ragu-ragu untuk memberikan suntikan vaksin untuk anak-anak mereka. Kementerian Kesihatan juga sudah memaklumkan jika kandungan vaksin tersebut tidak halal sudah tentu mereka tidak akan menggunakannya (ke atas rakyat)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.
Dalam pada itu, Muhammad Pehimi menyeru agar ibu bapa tidak lagi terpengaruh dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan mengandungi unsur-unsur yang tidak halal.
"Sebab, mutakhir ini disebabkan ada ibu-bapa yang menolak pengambilan vaksin berikutan menerima maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin menerusi media sosial seprti WhatsApp, ini menyebabkan ada penyakit yang telah lama tidak ada di negara ini muncul semula.
"Justeru saya mohon agar ibu bapa dapat bekerjasama dengan pegawai dari Kementerian Kesihatan dalam memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka," katanya.
Sementara itu, mengenai isu air Kangen di negeri ini, Dr Mohamad berkata pihaknya sentiasa memantau penjualan air tersebut dan setakat ini didapati penjualannya semakin berkurangan di pasaran.
"Saya rasa mereka sudah tahu yang air ini tidak lagi boleh dijual di pasaran susulan kenyataan dari pihak Kementerian Kesihatan yang akan mengambil tindakan tegas terhadap penjualan air berkenaan kerana ia telah melanggar Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983," katanya.