Vaksin diberikan secara percuma, KKM sedang kenal pasti hospital, klinik swasta

Khairunnisa Kasnoon
Mac 4, 2021 22:19 MYT
KKM sedang mengenal pasti hospital dan klinik swasta untuk diberikan vaksin bagi meneruskan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan. - Gambar fail/AP
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenal pasti hospital dan klinik swasta untuk diberikan vaksin bagi meneruskan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, setakat ini menerusi fasa pertama, kerajaan telah menggunakan hospital swasta yang terlibat sebagai pusat pemberian vaksin dan akan dikembangkan untuk fasa kedua dan seterusnya.
“Kerajaan telah memberikan vaksin secara percuma dan sekarang ini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memberikan kelulusan bersyarat untuk kerajaan mendapatkan perolehan vaksin tersebut supaya boleh diedarkan kepada hospital-hospital swasta.
"Oleh kerana kekangan bekalan vaksin, kita melihat kepada ekuiti iaitu kita khususkan kepada fasa pertama untuk kepada petugas kesihatan dan juga barian hadapan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis..
Jelas beliau, pemberian vaksin secara percuma dan berperingkat mengikut fasa akan diberikan kepada golongan rentan pada fasa kedua manakala pelalian kepada individu berusia antara 18 hingga 60 tahun fasa seterusnya.
"Kita dalam proses untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi untuk diberikan kepada populasi di Malaysia supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat," katanya lagi.
#Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #Kementerian Kesihatan #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #vaksin
;