Vaksin denggi pertama di dunia berada di pasaran tahun depan
Bernama
November 4, 2014 17:27 MYT
November 4, 2014 17:27 MYT
Vaksin denggi pertama di dunia kini dalam proses pengeluaran, dan akan berada di pasaran pada separuh kedua 2015, menurut Sanofi Pasteur, syarikat multinasional yang memberi tumpuan kepada penghasilan vaksin.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata kajian klinikal peringkat akhir kedua menunjukkan 95.5 peratus perlindungan terhadap demam denggi teruk dan pengurangan risiko kemasukan ke dalam wad sebanyak 80.3 peratus.
Sanofi Pasteur, iaitu bahagian vaksin di Sanofi, mengumumkan keputusan terperinci kajian keberkesanan klinikal Fasa III yang bersejarah itu di Amerika Latin dalam The New England Journal of Medicine.
Pengeluar ubat dari Perancis itu berkata keberkesanan menyeluruh terhadap sebarang simptom demam denggi adalah 60.8 peratus terhadap kanak-kanak dan remaja sembilan hingga 16 tahun yang diberi tiga dos vaksin itu.
Kajian itu dijalankan meliputi lebih 31,000 peserta di 10 negara endemik di Amerika Latin dan Asia, termasuk Malaysia.
Denggi adalah penyakit endemik di lebih 100 negara, mengancam hampir separuh penduduk dunia. Seorang pesakit dimasukkan ke hospital akibat denggi pada setiap minit.
Sanofi mengambil masa sejak 20 tahun lepas untuk membangunkan vaksin yang mendahului bakal pesaingnya selama beberapa tahun.