Vaksin COVID-19: Tiada kesan sampingan setakat ini, kongsi Perdana Menteri

Nickyson Nyambar
Februari 25, 2021 21:08 MYT
Muhyiddin di laman Facebooknya berkongsi perkembangan terkini keadaan kesihatannya setelah menerima suntikan dos pertama Pfizer-BioNTech pada Rabu lalu - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Memasuki hari kedua menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keadaannya ketika ini baik-baik sahaja.
Malah, ujarnya, tiada sebarang kesan sampingan yang dirasai ketika ini.
"Hari ini, hari kedua selepas saya mendapat suntikan vaksin COVID-19. Semuanya berjalan dengan baik. Saya yakin ini adalah vaksin yang selamat dan berkesan.
"Jadi ramai yang bertanya dengan saya berkenaan keadaan saya. Alhamdullilah, saya berasa sihat, tidak berasa demam, tiada rasa luar biasa, makan seperti biasa dan selera seperti biasa," kongsinya dalam satu perkongsian video di laman Facebooknya pada Khamis.
Ujarnya, susulan pengambilan suntikan pertama vaksin, beliau akan melalui suntikan dos yang kedua pada 17 Mac depan.
Dalam perkongsian video berdurasi 2 minit 40 saat itu juga, Muhyiddin turut menyeru rakyat untuk menyahut seruan kerajaan dalam pengambilan vaksin COVID-19 dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
"Jadi bagi saya, vaksin yang saya terima ini agak baik.
"Sebab itu saya nak minta sekali lagi supaya kita semua memainkan peranan masing-masing dalam menyokong usaha kerajaan dan negara kita untuk melandaikan jangkitan COVID-19 dengan cara mendaftar diri kita untuk mendapat suntikan menerusi aplikasi MySejahtera," tambahnya.
Beliau turut mengingatkan setiap rakyat untuk terus menjaga kesihatan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh masa sukar ini agar rantaian wabak itu dapat diputuskan sepenuhnya.
#COVID-19 #vaksin Pfizer-BioNTech #pandemik #Perdana Menteri #Tan Sri Muhyiddin Yassin #fasa pertama #vaksin #program vaksinasi #MyVaksinCOVID19
;