Vaksin COVID-19: 'Terima kasih berjaya bawa pulang vaksin untuk rakyat' - Menara kawalan

Fareez Azman
Februari 21, 2021 16:06 MYT
Pesawat Malaysia Airlines MH604 dihiasi Jalur Gemilang mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.00 pagi Ahad membawa 312,390 dos vaksin. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 di negara ini pada Ahad membuka lembaran baharu dalam peperangan menentang COVID-19 sejak hampir setahun lalu.
Rata-rata masyarakat dapat menarik nafas lega dan mengharapkan kemenangan berpihak kepada kerajaan dan rakyat.
Malah pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa vaksin Pfizer-BioNTech dari Singapura ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus menjadi perhatian semua pihak.
Tidak terlepas, video berdurasi 25 saat yang tular di laman sosial memaparkan seorang Pegawai Kawalan Trafik Udara dari Menara Kawalan Subang, Mohd Zulnaiim Harun turut menzahirkan penghargaan kepada Kapten Hamdan dan krew dari MH604.
"Malaysian 604 bagi pihak KLIA Tower dan rakyat Malaysia, kami ingin mengucapkan penghargaan kepada Malaysia Airlines dan MASkargo kerana membawa pulang kumpulan pertama vaksin ke negara kita.
"Ini satu sumbangan kepada negara kita untuk memerangi COVID-19, terima kasih," kata Mohd Zulnaiim.
'Terima kasih berjaya bawa pulang vaksin untuk rakyat'. Sumber video: CAAM
Manakala seorang lagi Penolong Pengawai Kawalan Trafik dari Menara Kawalan Trafik Udara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Abdul Rahman Ishak turut mengucapkan penghargaan kepada Kapten Hamdan dan krew di dalam pesawat MH 604.
"Malaysian 604, saya ada pesanan untuk anda.
"Malaysian 604, ATC Malaysia ingin mengucapkan selamat pulang Malaysian 604 ke tanah air, terima kasih Malaysia Airlines dan MASkargo berjaya membawa pulang vaksin untuk rakyat Malaysia dengan selamat.
"Malaysian 604, ada pesanan khas dari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kapten Chester Voo Chee Soon, selamat pulang ke tanah air, fly safe, Kapten Hamdan dan krew," kata pengawal kawalan trafik tersebut.
[INFOGRAFIK] Fakta Ketibaan Kumpulan Pertama Vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech
#Malaysia Airlines #CEO #Kuala Lumpur #video #penerbangan #laman sosial #pesawat #Singapura #COVID-19 #vaksin #rakyat Malaysia #Malaysia #MH604 #Kapten Hamdan #krew #ATC #CAAM #KLIA #Pfizer-BioNTech
;