Vaksin COVID-19: Tambah PPV Walk-In, percepat vaksinasi kanak-kanak - Khairy

Astro Awani
Mac 2, 2022 11:22 MYT
KKM bercadang memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Walk-In atau secara jumpa terus. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang memperbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Walk-In atau secara jumpa terus.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia seiring usaha mempergiatkan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
"Kita akan memudahkan lagi proses vaksinasi terutama di Sarawak di mana program PICKids yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1.
"Saya akan cadangkan supaya PPV Walk-In dibuka di kawasan-kawasan yang sudah tidak ada temu janji atau yang sudah selesai.
"Maka, bolehlah PPV Walk-In dibuka serta memberi perhatian di kawasan YB," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang bertanya tindakan susulan peningkatan kes COVID-19 yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak termasuk di kawasannya.
Menjawab soalan asal, Khairy berkata KKM telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menghadapi cabaran gelombang Omicron ketika ini.
Ia termasuk mempergiat pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 di mana sehingga 28 Februari lalu, kadar liputan dos penggalak adalah 62 peratus populasi dewasa.
"Menambah baik pengurusan COVID-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.
"Usaha sama dengan fasiliti kesihatan swasta dalam pengurusan kes COVID-19.
"Hospital-hospital swasta telah bekerjasama dalam menyediakan katil bagi merawat kes COVID-19.
"Pengamal-pengamal perubatan swasta juga dilibatkan dalam pemantauan kes-kes positif yang diasingkan di rumah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, antara usaha lain yang dilakukan termasuk membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal semasa mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.
Selain itu, National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) diaktifkan semula sejak 7 Februari lalu dengan objektif utama penubuhannya adalah untuk memastikan akses ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital terjamin.
Malah, RRTF 2.0 juga akan melakukan pemantauan kes positif COVID-19 melalui Pusat Penilaian COVID-19 secara maya (VCAC).
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #Pusat Pemberian Vaksin #PICKids
;