Vaksin COVID-19: "Tak rasa pun, macam cucuk biasa" - Muhyiddin

Harits Asyraf Hasnan
Februari 24, 2021 15:50 MYT
Muhyiddin menyeru rakyat Malaysia mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk segera mendapatkan vaksin tersebut. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: "Tidak rasa pun, macam cucuk biasa," itu yang diakui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menjadi individu pertama disuntik vaksin COVID-19 di negara ini.
Bercakap kepada media selepas disuntik vaksin itu, Muhyiddin menzahirkan rasa syukur selain yakin bahawa vaksin tersebut cukup selamat dan berkesan.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk segera mendapatkan vaksin tersebut.
[LAPOR LANGSUNG] Sejarah tercipta, PM individu pertama terima suntikan Pfizer-BioNTech
"Kalau tengok keadaan saya setakat ini, alhamdulillah. Jadi, saya hendak menyeru seluruh rakyat Malaysia dan mereka yang tinggal di Malaysia yang telah kita putuskan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma.
"Tampil ke hadapan untuk mendaftar dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran bila mana saudara saudari untuk diberi suntikan vaksin COVID-19," katanya.
Malah, beliau menggesa rakyat untuk yakin dan percaya bahawa usaha yang sedang dilakukan kerajaan ini adalah untuk memutuskan jangkitan COVID-19.
Barisan penerima pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
"Jadi saya ingin sekali lagi menyeru supaya kita sama-sama mendokong usaha untuk menentukan supaya negara kita dalam satu tempoh dalam masa yang singkat akan bebas COVID-19 ini," ujarnya.
Beliau sebelum itu bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas barisan hadapan yang lain menerima suntikan vaksin COVID-19.
Suntikan yang dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 itu sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Vaksin COVID-19 | Sejarah tercipta, Perdana Menteri terima suntikan vaksin pertama
#Muhyiddin Yassin #Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Vaksin COVID19 #Pfizer BioNTech #Pusat Pemberian Vaksin #PPV
;