Vaksin COVID-19: Suntikan harian 206,015 dos, 8 peratus kini lengkap divaksin
Nursyazwani Saiful Sham
Julai 5, 2021 10:39 MYT
Julai 5, 2021 10:39 MYT
KUALA LUMPUR : Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 4 Julai adalah 206,015 dos.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di Twitter memaklumkan, daripada jumlah itu, 127,385 adalah penerima dos pertama.
Manakala 78,630 adalah penerima dos kedua.
Ini menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah lebih 9 juta sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari lalu.
Lebih 6.38 juta dos atau 19.6 peratus bagi suntikan pertama manakala 2.61 juta dos atau 8 peratus untuk suntikan kedua telah diberikan.
Perkembangan ini semakin menghampiri nilai ambang 10 peratus untuk peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara.
Namun, jangkaan sasaran melebih 300,000 dos suntikan harian bermula Julai masih belum terlaksana.
Dalam pada itu, data yang dikongsikan turut menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama yang tertinggi dengan 1.15 juta individu atau 65.1 peratus daripada populasinya.
Ia disusuli Sarawak (1.19/42.5 peratus), Putrajaya (43,712/39.7 peratus), Labuan (36,813/37 peratus), Perlis (69,377/27.2 peratus), Pulau Pinang (328,696/18.5 peratus) dan Negeri Sembilan (203,895/18.1 peratus).