Vaksin COVID-19: Suntikan di rumah untuk golongan rentan

Astro Awani
Ogos 19, 2021 09:10 MYT
Pasukan CITF daerah Hulu Terengganu giat melaksanakan pemberian suntikan dari rumah ke rumah kepada golongan warga emas, pesakit terlantar serta golongan kurang upaya. -Foto Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah Hulu Terengganu giat melaksanakan pemberian suntikan dari rumah ke rumah kepada golongan warga emas, pesakit terlantar serta golongan kurang upaya.
Ketua CITF Daerah Hulu Terengganu, Ahmad Azizi Zulkifli berkata inisiatif yang dilaksanakan sejak seminggu yang lalu adalah dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di daerah tersebut.
Katanya, setakat ini lebih 100 golongan berkenaan telah dikenal pasti untuk diberikan suntikan di kediaman masing-masing.
"Di samping program suntikan di PPV program outreach yang kita buat setiap minggu, program turun dari rumah ke rumah ini juga satu strategi kita untuk mencapai herd immunity dengan kadar seberapa cepat yang boleh," katanya.
Beliau berkata langkah yang dilakukan itu juga bagi membantu golongan sasar berkenaan mendapatkan perlindungan vaksin susulan kesukaran mereka untuk mendapatkan suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV).
Beliau berkata, setakat ini tahap vaksinasi di daerah itu sudah mencapai 35 peratus bagi penerima dos lengkap.
Katanya, bagi penerima satu dos pula telah mencapai 57 peratus dan pihaknya yakin imuniti kelompok yang disasarkan pada Oktober akan berjaya direalisasikan.
#imuniti kelompok #PPV #COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #suntikan #terengganu #vaksin #warga emas #OKU #CITF #Hulu Terengganu #golongan rentan
;