Vaksin COVID-19 selamat tiba di dua PSV di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 22, 2021 17:29 MYT
Pada Ahad, sebanyak 16,000 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer -BioNtech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 5.35 petang. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Semua vaksin COVID-19 sudah di hantar ke dua Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Pulau Pinang iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada Isnin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, vaksin yang disimpan di gudang penyimpanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dibawa keluar pada jam 8 pagi tadi sebelum menuju ke HPP dan ke HSJ jam 9 pagi dengan kawalan ketat polis.
Sehubungan itu, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di kedua-dua PSV bagi memastikan semua urusan penghantaran vaksin ke pusat pemvaksinan selepas ini berjalan lancar.
Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menentukan tempat dan masa untuk penghantaran vaksin daripada PSV terbabit ke lima daerah di negeri itu.
Sahabudin berkata, seramai 6,000 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang akan menerima suntikan vaksin.
Namun keutamaan suntikan akan diberikan kepada anggota dan pegawai yang bertugas di barisan hadapan yang terdedah kepada jangkitan.
Bagaimanapun beliau menyatakan kesediaan untuk menjadi orang pertama untuk menerima suntikan vaksin berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Vaksin yang baharu sampai ini akan diberikan kepada petugas KKM dan kita (polis) pun akan buat secara berperingkat.
"Paling ke depan akan diberikan yang betui-betul bertugas di barisan hadapan dan terdedah. Kalau boleh saya mahu jadi penerima pertama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini pada Isnin.
Pada Ahad, sebanyak 16,000 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer -BioNtech selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 5.35 petang.
Vaksin tersebut akan di simpan di dua pusat simpanan vaksin di negeri itu terlebih dahulu sebelum proses pemvaksinan dibuat di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan di negeri itu.
#vaksin #Pfizer #COVID-19 #PSV #pulau pinang #KKM #Ketua Polis Pulau Pinang #Sahabudin Abd Manan
;