Vaksin COVID-19: Sela masa dos penggalak disingkatkan kepada 3 bulan - Khairy
Harits Asyraf Hasnan
Disember 28, 2021 16:27 MYT
Disember 28, 2021 16:27 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan bahawa sela masa bagi dos penggalak vaksin COVID-19 disingkatkan kepada tiga bulan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia merangkumi vaksin primer Pfizer dan AstraZeneca (AZ), selain CoronaVac (Sinovac) yang memang ditetapkan sela masa tiga bulan.
Jelasnya, kumpulan kerja teknikal telah menilai bukti sedia ada dan memberikan saranan baharu mengenai pemberian dos penggalak COVID-19.
"Semua warga emas berumur 60 tahun ke atas dan semua individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin (Pfizer, AZ dan CoronaVac) amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak mereka sekurangkurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.
"Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas," katanya semasa sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurut Khairy, hasil dapatan kajian klinikal dan kajian Real World termasuk 'The Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines Under the Malaysia National COVID-19 Immunisation Programme' (RECoVaM) yang telah dijalankan di Malaysia telah menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan COVID-19 adalah berkurangan dengan masa.
Malah ujarnya, data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.
"Selain itu, bukti kukuh yang telah terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan bahawa vaksin penggalak COVID-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.
"Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom telah menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan," katanya.
Jelasnya, keputusan menyingkatkan sela masa itu adalah sama seperti yang dilakukan oleh badan-badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia.