Vaksin COVID-19: Sarawak guna pendekatan suntik dahulu, kemudian daftar
Shafik Ahmad
Jun 7, 2021 11:50 MYT
Jun 7, 2021 11:50 MYT
KUCHING: Sarawak akan menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan rakyat di negeri ini tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Jelasnya selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, Sarawak akan menggunakan kaedah hibrid yang melibatkan pendaftaran secara manual selepas pemberian vaksin terutama masyarakat luar bandar.
“Untuk kawasan luar bandar, jika nama tidak ada dalam pendaftaran, tetapi mereka sudah datang untuk vaksin, mereka boleh divaksin selepas itu barulah pendaftaran dibuat.
“Kita mahu semua rakyat mendapat vaksin, selain itu memudahkan mereka yang datang dari jauh untuk tidak berulang-alik secara tidak langsung memudahkan urusan mereka.
“Ia sekali gus akan memastikan proses vaksinasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan khususnya di luar bandar,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Abang Johari perkara itu telah dimaklumkan kepada semua wakil rakyat untuk membantu dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Ogos depan.
Bercakap mengenai program vaksinasi AstraZeneca di Sarawak, beliau mendedahkan seramai 1,400 orang menerima vaksin pada hari pertama yang dijalankan di BCCK dan PKBN Miri.
“Setakat ini kita berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi di BCCK, hari ini di sini (BCCK) melibatkan 1,000 penerima dan 400 di Miri.
“Jumlah ini akan ditingkatkan kepada 3,000 sehari selepas ini bagi mempercepatkan program imunisasi di Sarawak,” katanya sambil mendedahkan seramai 30,000 orang telah mendaftar untuk menerima vaksin AstraZeneca di negeri ini.
Keupayaan Sarawak untuk memperluaskan program itu kata Abang Johari diperkuatkan lagi dengan ketibaan lebih 469,000 vaksin jenis Sinovac dan Pfizer dalam tempoh dua hari akan datang.
“Vaksin (Sinovac dan Pfizer) akan datang pada 9 Jun sebanyak 380,000 dos seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin yang akan kita hantar ke Miri dan 89,360 dos lagi akan datang pada 10 Jun ini.
“Dengan sasaran satu juta dos pada Jun seterusnya pada Julai dan Ogos,” katanya.
Hadir sama pada lawatan program hari pertama itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embass dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
#COVID-19
#program vaksinasi
#AstraZeneca
#Pfizer
#vaksin
#Abang Johari Tun Openg
#Khairy Jamaluddin
#Ketua Menteri
#Kuching
#Miri
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#suntikan
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#MySejahtera
#imuniti kelompok
#Sarawak