KUCHING: Seramai 240,000 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak akan menerima vaksin  melalui Program Imunisasi COVID-19 (PICK) minggu hadapan.

Pelaksanaan program vaksinasi ini disahkan oleh Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian melalui kenyataan di Facebook rasminya pada Ahad.

Jelasnya, perubahan politik yang tidak di peringkat persekutuan menjadi punca pelaksaan program vaksinasi untuk golongan berkenaan ditangguhkan lebih daripada dua minggu.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sekali lagi beliau berjaya meyakinkan rakyat di Sarawak bahawa agensi persekutuan dan negeri boleh bekerjasama untuk memvaksinkan seramai 240,000 golongan remaja dalam usia berkenaan.

“Sebagai contoh pada Jun, dalam tempoh 18 hari, Sarawak berjaya memvaksin satu juta golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Tambahnya, 10 peratus daripada populasi keseluruhan di Sarawak adalah mereka yang berusia 12 hingga 18 tahun.

“Kita mesti memvaksin seramai yang mungkin populasi di Sarawak termasuk 20 peratus golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Kajian saintifik yang diterbitkan Lancet mendedahkan vaksin jenis Sinovac juga boleh digunakan untuk individu berusia tiga tahun ke atas selari dengan perubahan imuniti kelompok 70 hingga 80 peratus di peringkat global kesan daripada kemunculan varian Delta,” jelas Sim.

Terdahulu pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin optimis Sarawak akan menjadi negeri pertama melaksanakan PICK kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah bermula pada minggu hadapan.

BACA: Remaja bawah 18 tahun divaksin minggu depan, bermula dengan Sarawak - KJ

Keputusan itu dibuat susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.