Vaksin COVID-19 sampai di pantai timur Sabah

Radhi Muslim
Februari 27, 2021 18:30 MYT
Vaksin tersebut ditempatkan di HDOK dan dikawal ketat oleh polis. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Vaksin COVID-19 tiba di kawasan pantai timur Sabah hari ini, antaranya di daerah Sandakan.
Vaksin bagi fasa pertama Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan itu selamat tiba di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan kira-kira pukul 1.10 petang tadi.
Vaksin berkenaan dihantar dari Kota Kinabalu ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum diambil oleh anggota keselamatan dan petugas kesihatan dari Sandakan.
Ketibaan vaksin terbabit disambut oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hazmin, Timbalan Pengarah HDOK, Dr Mohd Fahmie Othman dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau.
Mohd Azhar berkata, vaksin tersebut ditempatkan di HDOK dan dikawal ketat oleh polis.
"Di sepanjang perjalanan membawa vaksin ke daerah Sandakan ini tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dan segalanya berjalan lancar selamat sampai lebih kurang 1.10 petang.
"Vaksin tersebut telah kita simpan ke bilik simpanan yang dikawal ketat oleh pihak polis. Pihak polis akan sentiasa menyediakan sentri yang bertugas untuk memastikan keselamatan vaksin tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, pada Sabtu.
Menurutnya, proses pengambilan vaksin itu melibatkan tiga pegawai dan enam anggota polis serta empat kakitangan kesihatan.
Bagaimanapun pelaksanaan program vaksinasi di daerah ini dijangka akan hanya bermula selepas perasmian Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Sabah 4 Mac depan.
Bagi Sandakan ia akan mula diberi kepada petugas kesihatan yang terlibat melakukan pemberian suntikan vaksin berkenaan.
Terdahulu, pada Khamis lebih 16,000 dos vaksin fasa pertama tiba di Sabah.
Ia memberikan kelegaan kepada ramai rakyat Sabah.
#COVID-19 #Sandakan #Kota Kinabalu #Pantai Timur #program vaksinasi #petugas kesihatan #vaksin
;