Vaksin COVID-19: PPV 'walk-in' untuk 18 tahun ke atas di P. Pinang bermula esok

Dewi Nur Harasha Alias
September 7, 2021 17:10 MYT
Bermula esok, 10 PPV di Pulau Pinang sedia menawarkan vaksinasi COVID-19 kepada warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dan individu yang tidak menerima sebarang makluman dalam aplikasi MySejahtera.
GEORGE TOWN: Bermula esok (Rabu) sebanyak 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pulau Pinang akan melaksanakan suntikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ khusus kepada penduduk negeri itu yang belum menerima janji temu suntikan vaksin.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mereka yang datang secara ' walk-in' mestilah warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dan individu yang tidak menerima sebarang makluman dalam aplikasi MySejahtera.
Menurut Kon Yeow, waktu operasi di 10 PPV berkenaan bermula pada pukul 10 pagi, namun pemberian vaksin mengikut kaedah first come first serve (siapa cepat dapat).
Dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa, Kon Yeow berkata, PPV-PPV yang menawarkan vaksinasi secara ‘walk-in’ adalah seperti berikut:
1) PPV Setia SPICE convention Centre (SPICE CC), Bayan Baru
2) PPV Tapak Pesta Sungai Nibong
3) PPV Kompleks Sukan Balik Pulau
4) PPV Pusat Konvensyen Perda
5) PPV Dewan Millenium
6) PPV Seberang Perai Arena Convention Centre (SP Arena), Seberang Jaya
7) PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya
8) PPV Vangohh Eminent, Bukit Mertajam
9) PPV Dewan Sungai Bakap
10) PPV Dewan Serbaguna Jawi.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sebelum hadir ke PPV, penduduk dikehendaki mengemaskini aplikasi MySejahtera bagi memastikan mereka tidak bergejala dan bukan kontak rapat kepada pesakit COVID-19 selain bukan dalam tempoh kuarantin.
Beliau juga memaklumkan, tempoh masa pengoperasian ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan di PPV-PPV terbabit.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hampir 1.2 juta penduduk negeri itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 860,703 penduduk pula telah lengkap menerima dua suntikan imunisasi berkenaan.
#vaksin COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #pulau pinang #first come first serve
;