Vaksin COVID-19: PPV LRT Putra Heights sasar beri 600 suntikan sehari
Eton Khir
Julai 18, 2021 11:45 MYT
Julai 18, 2021 11:45 MYT
SUBANG JAYA: Prasarana Malaysia Berhad bakal membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stesen LRT Putra Heights Isnin ini untuk tenaga kerja Prasarana, MRT CORP dan Kementerian Pengangkutan menerima suntikan vaksin.
Ketua Modal Insan Prasarana, Tomin Salikan berkata dengan kapasiti 600 suntikan sehari, inisiatif itu bagi mempercepatkan pemberian vaksin.
Selain itu, PPV di Kompleks Bas Rapid Cheras juga akan mula beroperasi pada 21 Julai ini untuk pemberian vaksin tenaga kerja Bas Rapid Kuala Lumpur.
“Program ini terbahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama kita akan buat di Putra Heights yang melibatkan lebih kurang 2,200 orang dan di Cheras Selatan untuk 2,900 orang. Itu jumlah yang kita sasarkan untuk kakitangan.
“Untuk sehari kita sasarkan 600 orang maka setiap satu jam kita sasarkan 70 orang. Di samping itu, dalam satu hari kita perlukan lapan jam waktu operasi dari jam 8 pagi sehingga 5 petang dan mereka akan hadir mengikut kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan," katanya selepas melakukan sesi latihan (dry run) di Stesen LRT Putra Heights pada Sabtu.
Di samping itu, kakitangan Prasarana turut terlibat sebagai sukarelawan bagi membantu meringankan beban kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan secara tidak lansung dapat memastikan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Inisiatif ini hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan ProtectHealth Corporation Sen Bhd (ProtectHealth).
#MRT
#MRT Corp
#LRT
#Kuala Lumpur
#KKM
#Cheras
#Kementerian Kesihatan
#bas
#prasarana
#Sains
#Malaysia
#COVID-19
#vaksin
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#suntikan
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#PICK