Vaksin COVID-19: PICK untuk golongan dewasa di 22 pulau Sandakan berakhir

Radhi Muslim
September 24, 2021 10:59 MYT
Dengan kerjasama pelbagai agensi, sehingga 5,000 penduduk pulau berjaya diberikan suntikan vaksin COVID-19. - Astro AWANI
SANDAKAN: Selepas bertungkus-lumus hampir dua bulan menjelajah ke 22 pulau di perairan Sandakan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ke pulau-pulau akhirnya menutup tirai, pada Khamis.
Penyelaras PICK 'outreach' Pulau Pejabat Kesihatan Sandakan, Dr Muhd Nor Hasan Thani berkata, program tersebut di daerah itu bermula pada akhir Jun lalu.
Katanya, dengan kerjasama pelbagai agensi, sehingga 5,000 penduduk pulau berjaya diberikan suntikan vaksin COVID-19.
Selain itu, sambutan dalam kalangan masyarakt pulau sangat menggalakkan.
“Kita sebenarnya bermula untuk program 'outreach' vaksin pulau ni pada 26 dan 27 Jun.
"Sehingga kini, kita telah pergi ke 22 buah pulau dan memberi suntikan kepada 4,500 hingga 5,000 individu.
"Sambutan penduduk pulau sangat menggalakkan dan memang orang-orang kampung begitu teruja untuk menerima vaksin hasil daripada kerjasama semua pihak, MOVAK, Maritim, ESSCOM, pemimpin tempatan, APM dan anggota KKM," katanya ketika ditemui di Pulau Libaran, pada Khamis.
Katanya sepanjang menjalankan program itu, pelbagai cabaran terpaksa dilalui petugas yang terlibat, antaranya berdepan perjalanan di laut yang berombak.
Namun pihaknya bersyukur, selepas berusaha hampir dua bulan, program berkenaan yang menyasarkan penerima vaksin kategori dewasa telah selesai denga jayanya.
Beliau berkata, PICK outreach Fasa 2 ke pulau-pulau berkemungkinan dijalankan semula dan menyasarkan penerima dalam kalangan remaja.
#COVID-19 #vaksin #pulau #PICK
;