Vaksin COVID-19: Penilaian, audit lapangan pastikan mutu perkhidmatan terbaik

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 4, 2021 00:12 MYT
Penilaian dan pemantauan terhadap mutu serta kualiti perkhidmatan dijalankan secara on-site audit serta off-site remote audit'. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penilaian berterusan terhadap mutu perkhidmatan yang diberikan pengamal perubatan swasta menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan memastikan objektif program itu tercapai.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Quality Assurance, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd, Dr Noor Haslinda Ismail berkata ProtectHealth telah membangunkan garis panduan, manual dan prosedur berkaitan vaksinasi yang berpandukan garis panduan dan polisi sedia ada oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ujarnya, tugas utama jabatan berkenaan adalah memastikan semua pengamal perubatan swasta yang terlibat mematuhi prosedur, polisi dan garis panduan yang ditetapkan.
“Pada masa ini, selain daripada sasaran jumlah pemberian vaksin melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dilakukan, ProtectHealth juga meninitikberatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan.
“Penilaian dan pemantauan terhadap mutu serta kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan pengamal perubatan swasta yang terlibat di dalam PICK ini dijalankan secara ‘on-site audit’ serta ‘off-site remote audit’,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan secara berkala dan berjadual itu dilakukan oleh Pasukan Audit Perubatan dengan dibantu oleh sukarelawan dari KKM dan pasukan petugas pemantauan yang telah diberi latihan berkenaan audit.
Pemantauan itu katanya, dijalankan ke atas semua jenis PPV di bawah seliaan ProtectHealth seperti PPVGP, klinik pakar, hospital swasta, Ambulatory Care Centres (ACC) serta semua PPV Mega, Integrasi dan AstraZeneca.
“Senarai semak telah dibangunkan bagi membantu proses audit oleh pasukan yang terlibat dan kesemua penemuan audit di dokumenkan sebaik mungkin bagi tujuan penambahbaikan.
“Tindakan sewajarnya juga akan diambil kepada mana-mana pengamal perubatan swasta yang tidak mematuhi standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh ProtectHealth, KKM dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV),” katanya.
Beliau berkata, antara langkah penambahbaikan yang telah diambil adalah dengan penambahan proses kerja semasa pemberian vaksin di mana setiap vaksinator perlu menunjukkan picagari yang mengandungi cecair vaksin mengikut dos yang betul kepada penerima sebelum melakukan suntikan dan menunjukkan picagari yang telah dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan.
#Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 #AstraZeneca #Kementerian Kesihatan #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Pemberian Vaksin #suntikan #vaksin #PICK #PPV #COVID-19