Vaksin COVID-19: Pejabat Kesihatan Tawau sasar 30,000 penerima dos penggalak
Petrus Bernard
Disember 7, 2021 08:16 MYT
Disember 7, 2021 08:16 MYT
TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau (PKKT) mensasarkan 30,000 individu akan mendapat dos penggalak di sekitar daerah Tawau dan Kalabakan.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Tawau, Dr G Navindran, jumlah itu terdiri daripada penerima vaksin Sinovac dan Pfizer-BioNTech daripada golongan warga emas.
"Setakat ini kami ada bawa 10,000 dos, daripada 30,000, 3,000 individu telah menerima suntikan vaksin Pfizer.
"Kebanyakan mereka tidak mahu Pfizer, nak juga Sinovac," katanya.
Katanya berita palsu berkaitan kesan pengambilan vaksin campur yang tular di media sosial memberi impak negatif kepada mereka sehingga tidak mahu mengambil dos penggalak yang berbeza.
"Tiada beza, vaksin ini semua sama juga cuma anggapan orang sahaja dan kalau dia rasa dia mau Sinovac, dia ambil Sinovac.
"Banyaklah yang mempengaruhi mereka dengan berita berita palsu ini yang mengatakan jangan campur nanti ada kesan. Itu yang membuat mereka tidak mahu terima Pfizer. Tetapi kami mahu pastikan mereka dapatkan dos penggalak," katanya lagi.
Sementara itu penerima dos penggalak yang hadir, Ruzieah Ahmad, 74, ketika ditemui berkata, dia tidak mahu menerima suntikan vaksin dos penggalak berbeza kerana mengalami alahan.
"Saya mengalami masalah alahan jadi kedua-dua suntikan vaksin saya mengambil Sinovac.
"Jadi bagi dos penggalak saya mahu Sinovac juga kerana doktor memberitahu saya akan mengalami masalah alahan jika saya ambil Pfizer," katanya.
Bagi Vun Piang Yin, 53, yang bekerja sebagai pekebun di kebun miliknya sendiri, dia tampil mengambil vaksin dos penggalak untuk melindungi dirinya.
"Kalau kita punya perasaan kata selamat tu kemungkinan selamatlah, tapi COVID-19 ini tidak boleh dijangka, mutasi sangat cepat.
"Jadi bila kita ambil dos penggalak, ia akan membantu melindungi. Tapi kalau cakap selamat sepenuhnya, tidaklah kerana COVID-19 ini cepat bermutasi," katanya.
Turut hadir menerima dos penggalak ialah seorang anak muda, Au Yong Tze Fung, 25, yang bekerja sebagai jurujual untuk melindungi dirinya memandangkan sering bertemu dengan ramai pelanggan.
"Saya mengajak semua masyarakat yang muda terutamanya untuk ambil dos penggalak demi menjaga keselamatn diri dan keluarga.
"Lagipun sekarang ada varian baru iaitu Omicron, jadi memang patutlah untuk ambil dos penggalak ini," katanya.
Untuk kelancaran pemberian suntikan dos penggalak, Pejabat Kesihatan Tawau membuka dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Dewan Masyarakat Tawau untuk pemberian dos penggalak Sinovac dan di Dewan Bola Keranjang Kampung Jawa, Tawau untuk pemberian dos penggalak Pfizer.