Vaksin COVID-19: Lebih 33 peratus kanak-kanak di Malaysia terima suntikan

Bernama
Mac 15, 2022 11:10 MYT
Seramai 1,180,323 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 1,180,323 atau 33.2 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
Berdasarkan laman web COVIDNOW, bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,838,292 individu atau 91.2 peratus telah melengkapkan vaksinasi COVID-19, setakat semalam.
Seramai 2,938,106 individu atau 94.4 peratus daripada kumpulan itu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi dewasa, seramai 15,317,615 individu atau 65.1 peratus telah menerima dos penggalak COVID-19, seramai 22,936,715 individu atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,213,016 individu atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 51,798 dos vaksin diberikan meliputi 14,496 dos pertama, 2,055 dos kedua dan 35,247 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,214,783.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 92 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Kedah merekodkan angka tertinggi sebanyak 28 kes, diikuti Johor (15), Selangor (14), Pulau Pinang (tujuh) dan Perak enam kes.
Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes, Sarawak dan Terengganu masing-masing tiga manakala Kelantan satu kes.
-- BERNAMA
#COVID-19 #vaksin #Kanak-kanak #PICKids
;