Vaksin COVID-19: Lebih 206,000 kanak-kanak di Malaysia terima dos pertama
Bernama
Februari 15, 2022 09:52 MYT
Februari 15, 2022 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 206,748 atau 5.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.
Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 13,373,479 atau 56.8 peratus populasi dewasa dalam negara telah menerima dos penggalak COVID-19, setakat semalam.
Sejumlah 22,938,190 individu atau 97.5 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 98.7 peratus atau 23,214,625 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,796,021 individu atau 89.9 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,875,825 atau 92.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Semalam, sebanyak 149,888 dos vaksin diberikan meliputi 38,738 dos pertama, 1,489 dos kedua dan 109,661 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah PICK sebanyak 65,198,894 dos.
Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 24 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Sabah masing-masing lima kes, Selangor dengan empat kes, Kedah melaporkan tiga kes manakala Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing dua kes dan Perak satu kes.
-- BERNAMA