Vaksin COVID-19: Lebih 10 juta individu terima dos penggalak

Astro Awani
Januari 20, 2022 23:23 MYT
Terdapat pertambahan 264,635 dos vaksin COVID-19 diberikan pada Khamis, membabitkan kedua-dua populasi dewasa dan remaja.
KUALA LUMPUR: Seramai 10,235,759 individu atau 43.7 peratus populasi negara selesai melengkapkan dos penggalak vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi.
Pada Khamis, terdapat pertambahan 258,337 individu yang melengkapkan suntikan ketiga tersebut.
Berdasarkan data portal COVIDNOW, seramai 25.68 juta populasi keseluruhan atau 78.7 peratus telah lengkap divaksinasi.
Seramai 22.91 juta individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.
Bagi populasi remaja pula, seramai 2.77 juta individu atau 88.2 peratus telah melengkapkan dua dos.
Sementara itu, data kemajuan program imunisasi mengikut negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan hanya Terengganu, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.
Terdapat pertambahan 264,635 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 61.54 juta dos.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #populasi dewasa #populasi remaja #dos penggalak