Vaksin COVID-19: KKM sedia percepatkan perolehan CanSino untuk Sarawak - Dr Adham

Firdaus Azil
April 16, 2021 12:03 MYT
Logo pengeluar vaksin China CanSino Biologics Inc dilihat pada ibu pejabat syarikat itu di Tianjin. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi mempercepatkan perolehan vaksin berdos tunggal CanSino buatan China, untuk digunakan di negeri itu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kerajaan Persekutuan memahami keperluan vaksin dos tunggal untuk Sarawak, khususnya bagi rakyat yang tinggal di kawasan pendalaman, yang mungkin menyukarkan mereka untuk mendapat dos kedua jika menggunakan vaksin lain.
"Vaksin CanSino (memang) lebih baik sekiranya digunakan untuk pendalaman kerana ia hanya memerlukan satu dos sahaja. Dan ianya juga efektif, untuk kita beri vaksinasi kepada mereka yang sukar datang kali kedua.
"KKM bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk percepatkan perolehan CanSino," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman antara Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Pfizer (Malaysia) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Tenggara itu berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas tentang penggunaan CanSino, khusus bagi penduduk Sarawak yang tinggal di kawasan pendalaman.
Uggah, dalam laporan media semalam, berkata beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Penyelarasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, dan telah memohon sekitar 600,000 hingga 800,000 dos CanSino.
Dr Adham sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan menerima sekitar 3.5 juta dos vaksin CanSino dari China secara berperingkat, mulai bulan ini.
#Kementerian Kesihatan #Menteri Kesihatan #Dr Adham Baba #vaksin CanSino #CanSino #Kerajaan Sarawak #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #COVID-19 #vaksin #Pfizer
;