Vaksin COVID-19: Kemas kini data penduduk fokus utama program 'outreach' di Sabah
Hafizi Rosli
Oktober 8, 2021 17:18 MYT
Oktober 8, 2021 17:18 MYT
KUALA LUMPUR : Kemas kini data penduduk akan menjadi tumpuan utama program 'outreach' atau capaian kepada penduduk Sabah bagi meningkatkan tahap vaksinasi di negeri itu.
Jelas Pengurus PPV Sabah, ProtectHealth Corporation Dr. Firdaus Johari, data yang tidak tepat sebabkan bilangan penerima yang sepatutnya hadir tidak dapat dikesan ketika pemberian vaksin di luar bandar.
"Tahap kemas kini data bancian penduduk di setiap daerah perlu diberi perhatian sepenuhnya di Sabah kerana terdapat sebilangan daerah hadapi masalah dalam mendapatkan statistik yang lebih mengenai jumlah penerima yang layak dibandingkan dengan statistik yang diperoleh secara harian di setiap PPV.
"Ringkas cerita, data tidak tepat sebabkan bilangan penerima vaksin yang sepatutnya hadir tidak kunjung tiba atau tidak dapat dikesan dalam konteks luar bandar," kata Dr Firdaus ketika ditemu bual pada Jumaat.
Jelas Dr Firdaus, dengan mengemas kini data penduduk ketika program outreach ini akan memastikan status terkini kawasan tersebut dapat ditanda dan dilabel secara tepat dalam peta vaksinasi.
"Antara lain adalah perlu kita lakukan adalah menggugurkan proses pertindihan kerja melibatkan proses pengumpulan data yang kurang bersesuaian dengan objektif utama program outreach vaksinasi.
"Ketiga kurangkan birokrasi dalam proses awam dan swasta dalam program outreach serta gerakkan aset anggota keselamatan bersesuaian bagi menjamin semua tenaga pekerja selamat, kebajikan makanan serta menggalkkan pemimpin setempat," katanya.
Namun katanya, beberapa aspek lagi perlu dipertingkat terutama menggalakkan lagi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) kerana sehingga 31 September lalu, hanya 36,618 dos diberikan.
Dalam pada itu, penyebaran maklumat mengenai kepentingan vaksinasi juga perlu dipergiatkan lagi bagi menambah keyakinan bakal penerima.
Vaksin COVID-19 | Bagaimana proses pelaksanaan Outreach di Sabah?