Vaksin COVID-19: Kebimbangan pengguna Islam akan diberi perhatian - MOSTI

Raja Hisyam Raja Zaid
November 26, 2020 10:37 MYT
JKJAV ditubuhkan bagi memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh segera dengan MOSTI dan KKM bertindak sebagai jawatankuasa induknya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi perhatian kepada isu yang dibangkitkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung kebimbangan mengenai beberapa perkara berkaitan keselamatan dalam penggunaan vaksin COVID-19 yang bakal diperoleh kerajaan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, sudah pasti perkara tersebut dibincangkan dan diberi keutamaan, lebih-lebih lagi membabitkan pengguna Islam di negara ini.
Menurutnya, kerajaan menyedari dan memahami kerisauan yang timbul berhubung perkara tersebut dan ia akan dijawab dan diterangkan sebaik mungkin.
“Saya percaya Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi respons kerana keyakinan dari kalangan pengguna Islam adalah penting.
"Sudah tentu ini akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang perlu mengatur penerangan dan penjernihan isu-isu berkaitan vaksin,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahmad Amzad mengulas dakwaan bahawa surat yang dihantar PPIM mengenai perkara tersebut telah disisihkan tanpa diberi perhatian.
Jelasnya, surat tersebut ditujukan kepada KKM dengan kementeriannya (MOSTI) hanya sebagai pihak yang menerima salinan dan rujukan.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan MOSTI juga bertanggungjawab dalam perkara membabitkan vaksin, beliau memberi jaminan dan keyakinan surat tersebut akan dijawab.
Malah, bagi memperincikan lagi urusan dari sudut agama, Ahmad Amzad berkata, perkara itu sentiasa dalam radar pihak yang berkenaan.
"Semalam, saya mempengerusikan Jawatankuasa Khas Penerangan Vaksin COVID-19 untuk isu-isu berkaitan umat Islam, yang dihadiri sama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” tambahnya.
JKJAV ditubuhkan bagi memastikan bekalan vaksin COVID-19 diperoleh segera dengan MOSTI dan KKM bertindak sebagai jawatankuasa induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin COVID-19 sehingga pelaksanaan program imunisasi dijalankan.
Mesyuarat pertama telah diadakan 23 Oktober lalu, dipengerusi bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Setakat 13 Nov, Khairy berkata, kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin COVID-19 daripada 11 calon vaksin di seluruh dunia yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa tiga.
Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penggunaan vaksin COVID-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang, mengambil kira semua aspek selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, perbincangan akan melibatkan pakar seperti mufti, wakil Kementerian Kesihatan dan ahli akademik.
Terdahulu pada Isnin, Zulkifli berkata, mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menjelaskan hukum penggunaan vaksin ialah ‘harus’, selari kaedah pencegahan yang dianjurkan Islam, berteraskan prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa.
#PPIM #MOSTI #Ahmad Amzad Hashim #KKM #surat #kebimbangan PPIM #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #keselamatan #kesihatan #kerajaan #Islam #JAKIM #WHO #vaksin #Maqasid Syariah
;