Vaksin COVID-19: Ke mana 'menghilang' lebih 150,000 penduduk dewasa Sandakan?

Radhi Muslim
September 29, 2021 13:34 MYT
Mengikut data yang diperoleh, 42 peratus lagi penduduk dewasa masih belum hadir bagi mendapatkan suntikan. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Lebih 150,000 penduduk dewasa di Sandakan dilaporkan belum menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat ini.
Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, setakat ini hanya 57.6 peratus daripada 363,800 penduduk daerah sudah itu menerima suntikan vaksin dos pertama.
Mengikut data yang diperoleh, 42 peratus lagi penduduk dewasa masih belum hadir bagi mendapatkan suntikan.
Manakala, 49 peratus atau 177,000 individu lagi sudah lengkap menerima suntikan vaksin.
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-10 DI SINI
“Kita baru saja mencapai sasaran dos pertama dengan 57.6 peratus dan dos lengkap dalam 49 peratus dan kalau diikutkan pencapaian ini bagi saya belum memuaskan hati lagi.
“Kita belum lagi mencapai sasaran kita akhir pada bulan September iaitu 80 peratus, jadi ini satu pencapaian yang agak jauh yang kita harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Sandakan, pada Rabu.
Menurutnya, ketika ini jumlah kehadiran penerima vaksin di tujuh buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah itu juga semakin menurun.
“Jadi, untuk makluman sejak beberapa hari lepas saya dapati dos satu yang datang ke semua dewan PPV yang kita ada iaitu empat dewan PPV integrasi dan tiga dewan dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kita dapati yang berumur 18 tahun ke atas hanya dalam lingkungan 500 hingga 600 orang sahaja,” tambahnya.
Justeru tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan akan memperbanyakkan lagi Program Outreach di kawasan pedalaman bagi mengesan penduduk yang masih belum menerima vaksin.
Ia sebagai usaha meningkatkan peratusan penduduk Sandakan yang sudah memperoleh vaksin COVID-19.
#COVID-19 di Sabah #peratusan vaksin di Sabah #kes COVID-19 di Sandakan #Program Outreach di Sabah
;