Vaksin COVID-19 jadi alat timbal balik, jejas kedaulatan negara

Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2020 16:44 MYT
Badan dunia seperti PBB dan badan peringkat serantau perlu memainkan peranan dalam memastikan pencabulan terhadap kedaulatan sesebuah negara tidak berlaku. - Gambar hiasan
Perlumbaan dalam mendapatkan vaksin COVID-19 dibimbangi bakal menjejaskan kedaulatan negara.
Itu kekhuatiran yang disuarakan Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang melihat potensi berlakunya timbal balik dalam 'diplomasi vaksin' tersebut.
Katanya, badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan peringkat serantau perlu memainkan peranan dalam memastikan pencabulan terhadap kedaulatan sesebuah negara tidak berlaku.
"Dalam konteks ini, sekiranya ia (vaksin COVID-19) dikuasai atau ditentukan oleh syarikat farmaseutikal yang menjual vaksin ini, jadi saya rasa negara boleh berunding.
"Cara pembayarannya boleh pelbagai untuk mendapatkan vaksin tersebut.
"Namun, turut dibimbangi adalah sekiranya vaksin ini dijadikan bahan timbal balik yang boleh menggugat kedaulatan negara...potensi itu ada.
"Dalam masa sama, perlu ada campur tangan pihak lain khususnya PBB dan organisasi peringkat serantau supaya tidak ada pencabulan dari segi kedaulatan negara dengan menggunakan vaksin ini sebagai alat untuk menguasai negara lain," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Justeru, Azizuddin berpandangan campur tangan PBB melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) amat penting dalam memastikan vaksin yang bakal ditemui itu bukan sahaja mudah dimiliki, tetapi juga harga yang terendah mungkin.
Malah katanya, proses semak dan imbang perlu dilakukan dalam memastikan tidak ada negara yang akan tergadai kedaulatan hanya semata-mata ingin mendapatkan vaksin.
#Astro Awani #diplomasi vaksin #kesihatan #koronavirus #PBB #pengeluar vaksin #penghasil vaksin #perkembangan vaksin #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #rundingan vaksin #vaksin COVID-19 #WHO
;