Vaksin COVID-19: "Ini soal nyawa, bukan berbangga jadi pembida tertinggi" - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Julai 3, 2020 11:57 MYT
Kerjasama antarabangsa perlu menjadi keutamaan pada ketika ini kerana ia adalah usaha menyelamatkan nyawa yang perlu digembeling secara bersama. - Gambar fail/Astro AWANI
Malaysia menyelar tindakan negara-negara yang mementingkan diri dan saling bersaing untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, kerjasama antarabangsa perlu menjadi keutamaan pada ketika ini kerana ia adalah usaha menyelamatkan nyawa yang perlu digembeling secara bersama.
"Ketika mendepani krisis yang mencabar ini, hanya ada satu penyelesaian iaitu untuk kita semua kekal bersama. Tiada negara, kecil atau besar, telah menang menentang COVID-19. Malah, pandemik ini telah meningkatkan persaingan semua negara dalam mendapatkan vaksin.
"Seperti seringkali saya katakan, sehingga kita temui ubat anti-viral yang diperlukan untuk merawat dan vaksin untuk mengekang novel koronavirus ini, kita tidak boleh isytiharkan kemenangan menentang COVID-19.
"Justeru, Malaysia percaya bahawa penghasilan vaksin tersebut perlu mengutamakan kerjasama antarabangsa berbanding persaingan antara negara. Ini berkaitan menyelamatkan nyawa dan bukan berbangga kerana menjadi pembida tertinggi," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan pada sesi webinar sempena ulang tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-75 pada Jumaat.
Tegasnya, dalam situasi ini, PBB perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan kesaksamaan dalam penyaluran dan penciptaan vaksin COVID-19.
"Di sini PBB boleh memainkan peranan yang lebih besar serta proaktif untuk memberi penekanan kepada penyaluran vaksin yang adil, mudah diakses dan berpatutan untuk semua pihak.
"Solidariti global berkenaan perkara ini amat diperlukan ketika ini dan masa tidak memihak kepada kita. Kita perlu bekerja lebih pantas kerana ini satu-satunya peluang yang kita ada," katanya.
Justeru, beliau menyeru PBB menggalakkan kerjasama antarabangsa dan melaksanakan polisi yang memberi impak dan dapat dirasai oleh rakyat.
#COVID-19 #Hishammuddin Hussein #koronavirus #pandemik #PBB #pembida vaksin #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Vaksin COVID19
;