Vaksin COVID-19: Hukum pengambilan harus, wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan
Astro Awani
Disember 23, 2020 19:21 MYT
Disember 23, 2020 19:21 MYT
KUALA LUMPUR: Hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.
"Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, perkara itu dibuktikan dengan kaedah pencegahan melalui vaksinisasi yang dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013.
Ia membabitkan Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) (tahun 1988); Imunisasi Hepatatis B (tahun 1988); Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (tahun 1989); Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (tahun 2002 dan dipinda keputusannya pada 2014); Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (tahun 2010) dan Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).
Zulkifli turut memaklumkan, di peringkat antarabangsa, institusi fatwa dunia memfatwakan penggunaan vaksin sebagai harus.
"Antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif menerusi Hai’ah Kibar ‘Ulama al-Azhar dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu yang dipengerusikan oleh Syeikh Abdullah Ben Bayyah dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah, Amerika yang dianggotai oleh Syeikh Dr Muhammad al Zuhaily.
"Hal ini saya akan perjelaskan lagi dalam Majalah al-Bayan siri ke-7 terbitan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedikit masa lagi," katanya lagi.
Justeru, Zulkifli menegaskan, dalam isu pengambilan vaksin COVID-19 ini, ia adalah ketetapan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
"Ini kerana, pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbang faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti," katanya.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan, kerajaan kini dalam peringkat perolehan fasa akhir untuk mendapatkan lagi 23.9 juta dos vaksin, yang merangkumi 42.8 peratus populasi rakyat di negara ini.
Menurut beliau, perjanjian itu melibatkan syarikat farmaseutikal Sinovac, CanSinoBIO dari China dan The Gamaleya Institute dari Rusia.