Vaksin COVID-19: Hanya dos penggalak jenis Pfizer dibenarkan di Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
November 12, 2021 09:38 MYT
Lebih 122,000 individu di Sarawak dijangka akan menerima suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19. - Foto fail/REUTERS
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjelaskan setakat ini hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech (Comirnaty) sahaja yang akan digunakan sebagai vaksin dos penggalak untuk program imunisasi di negeri itu.
Timbalan Pengarah JKNS, Dr Rosemawati Ariffin berkata, vaksin jenis Sinovac (CoronaVac) hanya digunakan sebagai dos penggalak di dalam keadaan tertentu.
“Sekiranya penerima vaksin mempunyai kontrapenunjukan (kontraindikasi) atau alahan kepada vaksin jenis Pfizer.
“Pemberian dos penggalak juga diberi dengan mengambil kira kategori keutamaan golongan berisiko dan jarak masa yang telah ditentukan mengikut jenis vaksin dos primer diterima sebelum ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan ini dibuat bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Mary Chang Oi Ling pada 10 November 2021 yang mempersoalkan adanya vaksin penggalak jenis Sinovac diberikan kepada penduduk Sabah berbanding penggunaan vaksin jenis Pfizer di Sarawak.
Tegas Dr Rosemawati, setakat ini pemberian dos penggalak di seluruh Sarawak adalah mengikut polisi terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana hanya vaksin jenis Pfizer (Comirnaty) telah dibenarkan sebagai dos penggalak kepada penerima dos primer Pfizer atau Sinovac.
“Polisi ini adalah sejajar dengan pekeliling serta arahan semasa berkenaan pelaksanaan pemberian dos penggalak dan dos ketiga daripada KKM,” katanya.
Untuk makluman, lebih 122,000 individu di Sarawak dijangka akan menerima suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 yang bermula minggu pertama Oktober lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 11,900 individu adalah mereka yang mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.
Sementara itu, suntikan dos penggalak juga diberikan kepada seramai 80,300 warga emas yang berusia lebih 60 tahun serta 30,340 petugas barisan hadapan perubatan di seluruh negeri.
#COVID-19 #vaksin #dos penggalak #Pfizer-BioNTech
;