Vaksin COVID-19: Hampir 70 peratus populasi dewasa lengkap divaksin
Astro Awani
September 7, 2021 08:56 MYT
September 7, 2021 08:56 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah suntikan harian vaksin COVID-19 yang direkodkan pada 6 September adalah 313,751 dos.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19-19 (JKJAV) menerusi perkongsian di medial sosial memaklumkan, daripada jumlah itu 132,640 adalah penerima dos pertama.
Manakala 181,111 adalah penerima dos kedua.
Johor merekodkan jumlah harian dos tertinggi dengan lebih 29,000 dos bagi dos pertama dan lebih 27,000 dos kedua.
Ini diikuti Sabah, dengan lebih 11,000 dos pertama manakala dos kedua pula melebihi 27,000.
Turut mencatat angka memberangsangkan ialah Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Laporan harian vaksinasi itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksinasi kini sebanyak 36,745,313 dos.
Secara keseluruhannya, 88.3 peratus atau kira-kira 20.67 juta penduduk dewasa negara ini sudah menerima satu dos vaksin, manakala 68.8 peratus atau 16.1 juta penduduk dewasa sudah lengkap menerima dua dos vaksin.