Vaksin COVID-19: Golongan gelandangan di Kuala Terengganu tidak diabaikan

Nur Fazlizai Ali
September 26, 2021 07:58 MYT
Kesemua gelandangan di sekitar Kuala Terengganu diberi vaksin jenis CanSino berikutan komuniti mereka yang sukar dijejaki. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Golongan gelandangan tidak dipinggirkan malah usaha akan diteruskan bagi memastikan kumpulan berkenaan turut menerima vaksinasi COVID-19.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Ttempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Ahmad Shah Mohamed berkata, kesemua gelandangan di sekitar Kuala Terengganu diberi vaksin jenis CanSino berikutan komuniti mereka yang sukar dijejaki.
Menurut Ahmad Shah, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Jabatan Kesihatan.
"Sasaran kita adalah 14 individu kerana daripada maklumat yang kami terima sebelum ini, terdapat 14 individu.
"Tetapi apabila kami tiba di sini, kami mendapati terdapat 18 individu," katanya.
Sementara itu, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, walapun jumlah gelandangan tidak ramai, namun program vaksinasi kepada golongan itu amat penting bagi membendung pandemik COVID-19.
"Sebenarnya program ini sangat baik dan sangat bagus terutamanya penglibatan antara NGO dan agensi kerajaan bersama-sama kita membantu kerajaan untuk kita memberi suntikan vaksin kepada semua rakyat Malaysia," katanya.
Menurut Zuraida, usaha akan dilaksanakan bagi mengesan gelandangan di negeri itu dan pihaknya menyambut baik kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat.
#COVID-19 #vaksin #gelandangan #terengganu
;