Vaksin COVID-19 bantu kembalikan kehidupan normal - Rakyat M'sia di luar negara
Bernama
Jun 20, 2021 09:51 MYT
Jun 20, 2021 09:51 MYT
KUALA LUMPUR: Bagaikan mengecapi semula nikmat yang hilang angkara COVID-19, masyarakat di beberapa negara kini mula menikmati kehidupan normal seperti sebelum wabak itu melanda, selepas semakin ramai menerima suntikan vaksin sebagai langkah mencegah dan mengurangkan penularan wabak berkenaan.
Itulah gambaran situasi terkini yang dikongsikan beberapa rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, apabila sekatan pergerakan ketat yang dikenakan sebelum ini, telah dilonggarkan setelah jangkitan wabak di kawasan masing-masing semakin terkawal berikutan lebih ramai masyarakat di sana divaksin.
Rakyat Malaysia yang bertugas sebagai imam di Masjid Hobart di Tasmania, Australia, Sabri Samson berkata sejak Mei lepas, masyarakat di sana khususnya umat Islam sudah kembali menjalani kehidupan normal termasuk dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal serta had kapasiti di surau dan masjid.
Beliau berkata penduduk di sana termasuk komuniti rakyat Malaysia rata-rata tidak menolak suntikan vaksin untuk mencegah jangkitan wabak itu, yang sekali gus membolehkan mereka menjalani rutin harian tanpa sekatan.
"Memang masyarakat di sini mahukan vaksin dan percaya ia mampu membantu diri daripada kesan buruk COVID-19, namun kami masih amalkan pemakaian mask (pelitup muka) di kawasan yang diperlukan," katanya ketika menjadi panel jemputan secara maya program khas 'Antara Keperluan dan Khilaf COVID-19' yang disiarkan secara langsung di Bernama TV malam tadi.
Program itu dihoskan Pengerusi Bernama Datuk Ras Adiba Radzi.
Ahli panel lain secara maya adalah dua rakyat Malaysia di luar negara iaitu Shireen Abdullah yang menetap di San Diego, California, Amerika Syarikat dan Haliza Hashim di London, United Kingdom (UK) selain ahli panel di studio iaitu Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbuster Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, dalam perbincangan yang mengupas topik berkenaan COVID-19 dan vaksin.
Menurut Haliza pula, keinginan untuk menikmati kebebasan di luar menyaksikan lebih ramai penduduk di negara itu mendapatkan suntikan vaksin dengan terkini 30 juta orang telah lengkap memperoleh dua dos.
Beliau berkata suntikan vaksin itu dianggap sebagai satu-satunya cara untuk mereka kembali menikmati aktiviti seharian seperti makan di restoran, menonton perlawanan bola sepak, menonton konsert, teater dan percutian malah kerajaan UK turut memainkan peranan dengan membuka pusat vaksin di kawasan-kawasan komuniti bagi memastikan setiap penduduk divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.
"Pelbagai kempen melibatkan selebriti dan tokoh agama diadakan bagi mengalakkan vaksinasi termasuk dengan membuka pusat vaksin berdekatan dengan lokasi masjid, gereja dan Chinatown serta tidak meminggirkan pekerja migran," katanya
Berkongsi keadaan di San Diego, Amerika Syarikat, Shireen berkata mereka tidak perlu lagi memakai pelitup muka ketika berada di luar susulan situasi COVID-19 yang semakin baik dan hampir 50 peratus penduduk di kawasan itu telah divaksin.
Shireen yang telah lengkap mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 berkata beliau kini berasa lebih selesa dan selamat untuk keluar namun masih memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan tambahan, malah kebanyakan rakyat Malaysia di San Diego juga telah memperoleh vaksinasi masing-masing.
-- BERNAMA
#Australia
#imuniti kelompok
#jangkitan
#suntikan
#vaksin
#pelitup muka
#COVID-19
#rakyat Malaysia
#Amerika Syarikat
#United Kingdom
#kehidupan normal
#wabak
#penjarakan fizikal
#surau
#masjid
#had kapasiti
#bola sepak
#konsert