Vaksin COVID-19: 90 peratus pelajar 17 tahun sudah terima satu dos
Hafizi Rosli
Oktober 4, 2021 10:17 MYT
Oktober 4, 2021 10:17 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 90 peratus pelajar berusia 17 tahun atau Tingkatan Lima di sekolah bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.
Manakala bagi pelajar berusia 16 tahun pula yang sudah terima sekurangnya satu dos vaksin adalah sebanyak 88 peratus.
Data berkenaan dimuatnaik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam akaun Twitter miliknya, susulan pembukaan semula sekolah bermula semalam dan hari ini melibatkan beberapa negeri.
Beliau juga berharap dengan pemberian vaksin ini golongan berkenaan selamat untuk kembali ke sekolah.
Sehingga Ahad, menerusi portal COVIDNOW, secara keseluruhan populasi remaja berusia 12-17 tahun lengkap divaksin adalah 108,826 atau 3.5 peratus.
Manakala seramai 1.643 juta atau 52.2 peratus remaja sudah terima satu dos suntikan vaksin.
Terdahulu, Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.
Namun, CITF-A memaklumkan remaja berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid diberi keutamaan menerima vaksin itu.